KUANTAN: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan pelantikannya sebagai pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam tidak bermakna UMNO kini menguasai Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, pelantikan berkenaan hanyalah bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Nik Nazmi Nik Ahmad menjelang sidang Parlimen yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“UMNO hanya ada 26 ahli Parlimen. Jadi bagaimana kita boleh dikatakan menguasai Kabinet? Dalam Kerajaan Perpaduan ini, kita ada sekitar 148 ahli Parlimen, itulah kekuatan sebenar kerajaan sekarang.
“Setakat ini juga belum ada mana-mana pihak yang menarik sokongan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuantan di sini, hari ini.
Beliau mengulas pelantikannya yang diumumkan semalam, yang sesetengah pihak anggap memberi gambaran seolah-olah UMNO semakin dominan dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas dalam kenyataan semalam memaklumkan tiada pelantikan baharu dibuat bagi jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, sebaliknya jawatan itu dipangku sementara oleh Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi.
Mengulas lanjut, Johari menjelaskan pemangkuan itu bersifat sementara bagi memastikan kelancaran urusan kementerian menjelang sidang Parlimen serta pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Sidang Parlimen akan bermula, dan apabila bersidang, menteri perlu menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Jadi pelantikan ini adalah untuk memastikan segala isu kritikal dapat ditangani dalam tempoh satu hingga tiga bulan akan datang,” jelasnya.
Mengulas mengenai pertemuan antara ahli Parlimen Barisan Nasional bersama Perdana Menteri malam tadi, Johari berkata beliau tidak hadir kerana berada di Kuantan bagi menghadiri program UMNO bahagian. – UTUSAN