SUNGAI PETANI: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan bahawa kuasa dan penentuan dalam politik terletak sepenuhnya di tangan rakyat, bukan segelintir individu atau parti semata-mata.
Beliau berkata, rakyat akan menilai prestasi parti yang membentuk kerajaan dan membuat pendirian mereka apabila tiba masa yang sesuai.
“Politik ini di tangan orang ramai, bukan tangan seorang individu. Orang ramai yang akan buat penilaian terhadap prestasi parti yang membentuk kerajaan. Sampai waktunya, mereka akan buat keputusan.
“Mereka boleh buat jangkaan, dakwaan dan sebagainya tetapi kena berpijak pada realiti. Kalau dia (Datuk Seri Ahmad Maslan) mai sini (tinggal lama di Kedah), saya ingat dia pun tak berani cakap begitu,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Mutiara Bandar Puteri Jaya Fasa 7 di sini, hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan kenyataan Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bahawa kedudukan kerajaan negeri diterajui Perikatan Nasional (PN) di Kedah, Perlis dan Terengganu dilihat tidak stabil, sekali gus membuka peluang kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk merampas semula tiga negeri pada pilihan raya akan datang.
Ahmad berkata, separuh daripada pengundi di tiga negeri itu masih menyokong UMNO, manakala sebahagian lagi berada dalam kelompok atas pagar yang mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya.
Dalam pada itu, mengulas sama ada Pas mempunyai perancangan peralihan kuasa sekiranya Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang melepaskan jawatan satu hari nanti, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas menolak spekulasi itu.
“Soalan itu tidak berlaku, jadi bagaimana saya hendak jangka benda yang tidak berlaku? Ramai orang hendak perkara itu jadi, pasai apa ya?
“Tetapi bukan dari dalam Pas, orang lain. Depa (pihak lawan) gerun kot, jadi mereka mula buat andaian begitu. Itu kerja musuhlah. Kita kekal seperti biasa,” katanya.
Abdul Hadi kembali menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Marang awal bulan ini, selepas kesihatan pulih apabila menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), pada 17 Jun lalu. – UTUSAN










