‘Kita tidak boleh menghalang seseorang berangan-angan’

‘Kita tidak boleh menghalang seseorang berangan-angan’

AHMAD Zahid Hamidi ketika hadir pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tampin 2025 di Dewan Perdana Tampin, di sini, semalam. – MINGGUAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak terus berangan-angan untuk kembali mentadbir negara, sambil menyindir pentadbiran terdahulunya yang digelar sebagai ‘kerajaan gagal’.

Menurut Zahid, kenyataan Muhyiddin kononnya PN mempunyai rekod dan pengalaman mentadbir yang lebih baik hanyalah angan-angan politik semata-mata.

“Kita tidak boleh halang orang berangan. Angan-angan itu percuma, tak perlu dibayar. Tapi cukuplah, kerana semasa beliau mentadbir dahulu, kerajaan itu dikenali sebagai kerajaan gagal.

“Jangan ulangi kegagalan yang sama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tampin 2025 di Dewan Perdana Tampin, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Seri Mohd. Isam Mohd. Isa.

Teguran itu dibuat sebagai reaksi terhadap kenyataan Muhyiddin dalam Himpunan Mandat Negarawan di Alor Setar, Kedah kelmarin, yang menyatakan bahawa PN bersedia mengambil alih kerajaan dengan menawarkan formula pentadbiran lebih baik berbanding Kerajaan Perpaduan hari ini.

Muhyiddin juga mendakwa PN akan menghapuskan beberapa dasar Kerajaan Perpaduan dan memperkenalkan mekanisme baharu pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebagai sebahagian daripada manifesto menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Zahid menegaskan bahawa rakyat tidak boleh terus ditawarkan janji-janji kosong sedangkan rekod pentadbiran masa lalu masih segar dalam ingatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN