PETALING JAYA: Penubuhan barisan rentas parti dalam kalangan blok bukan kerajaan dicadang bagi memperkukuh peranan semak dan imbang parti pembangkang dalam serta luar Parlimen.
Cadangan itu dikemukakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengadakan perbincangan bersama pemimpin-pemimpin utama parti bukan kerajaan hari ini.
Menerusi hantaran di akan Facebook beliau, Muhyiddin berkata, perbincangan tersebut bertujuan mendapatkan pandangan berhubung penubuhan sebuah barisan rentas parti yang akan mengambil pendirian bersama dalam isu berkaitan kepentingan rakyat dan negara.
Antara yang hadir dalam pertemuan itu ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali.
Yang turut hadir Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan; Pemangku Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya; Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), S. Sathiah; Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim; Presiden Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Prof. Dr. P. Ramasamy dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P. Waytha Moorthy.
Kata Muhyiddin, semua yang hadir memberikan maklum balas yang amat positif terhadap cadangan tersebut.
“Saya akan membawa pandangan yang diutarakan dalam pertemuan ini ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang akan datang,” katanya. – UTUSAN