Tindakan Rafizi kaitkan Kamil dengan pemilihan PKR berniat jahat - AMK Perlis - Utusan Malaysia

Tindakan Rafizi kaitkan Kamil dengan pemilihan PKR berniat jahat – AMK Perlis

AHMAD AZZIN IZZAD BAHANUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri kesal dengan kenyataan Datuk Seri Rafizi Ramli yang cuba mewujudkan persepsi tidak berasas apabila mengaitkan Muhammad Kamil Abdul Munim dengan pemilihan parti yang diadakan tahun ini.

Ketuanya, Ahmad Azzin Izzad Bahanudin berkata, kenyataan seperti itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah bertentangan dengan fakta yang sudah diketahui umum bahawa pemilihan parti itu telah diputuskan oleh biro politik PKR dan dimaklumkan secara rasmi sejak 30 Oktober 2024.

Katanya, pada masa itu, tidak timbul sebarang bantahan mahupun isu terhadap keputusan diadakan pemilihan tersebut sama ada daripada peringkat pimpinan tertinggi parti, akar umbi mahupun mana-mana calon.

“Cubaan untuk mengheret nama Muhammad Kamil sebagai punca tarikh pemilihan adalah tidak logik dan berniat jahat,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi itu dilapor mendakwa pemilihan pada kali ini adalah untuk memberi laluan kepada Muhammad Kamil untuk memegang jawatan Ketua AMK bagi sesi 2025-2028 dan ia merupakan peluang terakhir berikutan usianya sudah pun mencecah 35 tahun.

Menurut Rafizi dalam ceramahnya pada jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Kota Bharu, Kelantan, justeru Muhammad Kamil tidak lagi berpeluang untuk merebut jawatan tersebut berikutan usianya sudah melebihi had untuk pemilihan bagi penggal akan datang

Tambah Ahmad Azzin, sebagai sayap muda parti, AMK Perlis percaya mengenai keperluan membina budaya politik yang sihat dan inklusif.

Katanya, serangan berbentuk spekulasi terhadap Muhammad Kamil hanya mencerminkan ketakutan terhadap semangat perubahan yang dibawa oleh generasi baru.

“Beliau (Muhammad Kamil) bukan sahaja layak untuk bertanding, tetapi juga telah membuktikan keupayaannya melalui kerja akar umbi, kehadiran di medan dan kesetiaan terhadap prinsip perjuangan parti.

“Mengkritik tanpa asas bukan cara membina parti. Kita harus menolak politik persepsi murahan dan memberi ruang kepada anak muda yang ikhlas mahu menyumbang.

“Pemilihan ini seharusnya menjadi medan persaingan idea, bukan platform menyebar keraguan terhadap integriti sesama ahli,” katanya.

Katanya lagi, AMK Perlis menyatakan solidariti penuh bersama Muhammad Kamil dan menyeru semua ahli parti untuk mengangkat semangat perpaduan bukannya perpecahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN