Tindakan Armada berterusan pertikai cuti Rafizi dipersoal

Tindakan Armada berterusan pertikai cuti Rafizi dipersoal

Armada Rafizi
MOHAMAD SHAHRUL ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Bersatu (Bersatu) dipersoal selepas dilihat membuat serangan berterusan terhadap tindakan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli yang sedang bercuti ketika ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Klang, Mohamad Shahrul Adnan berkata, serangan tersebut tidak sepatutnya timbul lagi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan permohonan cuti dibuat oleh Timbalan Presiden PKR itu adalah perkara biasa dalam kalangan anggota Kabinet.

Menurutnya, keputusan Ahli Parlimen Pandan itu untuk bercuti tidak menjejaskan kelangsungan dasar-dasar kementeriannya, sebaliknya dakwaan yang dilemparkan itu hanya untuk mengalihkan perhatian terhadap kelemahan dalaman Bersatu sendiri.

“AMK Klang mempersoalkan motif sebenar serangan bertali arus ini (terhadap Rafizi).Keputusan beliau untuk mengambil cuti sementara daripada tugas kementerian adalah bagi mengurus hal dalaman parti dan ia adalah langkah yang telus dan beretika.

“Langkah tersebut bukanlah tanda mengabaikan tanggungjawab, tetapi menunjukkan komitmen beliau terhadap pemisahan urusan parti dan kerajaan iaitu satu prinsip yang penting untuk memastikan integriti dalam pentadbiran negara,” katanya kepada pemberita.

Semalam, Armada dilapor mengecam pengakuan Mohd. Rafizi yang mengambil cuti bagi menangani aduan yang timbul daripada pemilihan PKR walaupun ketika negara sedang berdepan pelbagai cabaran ekonomi.

Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid mendakwa, tindakan Rafizi menunjukkan keutamaannya kepada parti lebih besar daripada negara.

Bagaimanapun, Mohamad Shahrul mendesak Armada supaya tidak terjebak dalam politik populis yang murahan dan tidak berasas.

“Politik hari ini menuntut kematangan, kefahaman dasar, dan kejujuran, bukannya serangan bertali arus yang hanya bertujuan untuk merosakkan imej dan kredibiliti pemimpin yang bekerja keras demi negara,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN