KUALA LUMPUR: Nurul Izzah Anwar akan mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR yang kini disandang Datuk Seri Rafizi Ramli.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, pengumunan tersebut akan dibuat dalam masa terdekat susulan tindakan Rafizi yang dilihat kurang komited dalam menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden dan jawatan Menteri Ekonomi yang dipegangnya.
Malah, tindakan pemimpin utama PKR itu dikatakan telah mendapat restu semua pihak termasuk akar umbi, sekali gus menjelaskan jawatan nombor dua dalam parti itu akan ada pencabar.
Ini bermakna, Rafizi tidak diberi laluan mudah untuk mempertahankan jawatan tersebut.
“Paling berpotensi ketika ini adalah Nurul Izzah Anwar (Naib Presiden yang dilantik) dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung), tiada calon lain yang dilihat mampu mengambil alih tanggungjawab tersebut,” katanya.
Nurul Izzah menyertai politik selepas bapanya yang juga Presiden dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dan dihadapkan ke mahkmah pada 1998.
Sejak itu, beliau mengambil alih peranan Anwar dalam memimpin parti selain menggalas tanggungjawab menguatkan parti yang akhirnya menyebabkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) jatuh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Tambah sumber itu, berdasarkan pengalaman Nurul Izzah, sememangnya beliau layak untuk memegang jawatan tersebut tanpa dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
“Jika benar, Nurul Izzah yang diberi gelaran Puteri Reformasi itu bertanding jawatan Timbalan Presiden, bolehkan beliau mengangkat kedudukannya di tahap lebih tinggi berbanding sebelum ini yang hanya merupakan Naib Presiden lantikan sahaja,” katanya.
Pemilihan ini juga akan menjadi medan bagi Nurul Izzah menguji sokongan akar umbi terhadapnya, lebih-lebih menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). – UTUSAN











