KANGAR: Selain kebanyakkan pemimpin cabang di seluruh negara, gelombang menyokong Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan kali ini terus memuncak di peringkat sayap parti dengan Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri juga menyatakan sokongan sama.
Ketuanya, Ahmad Azzin Izzad Bahanudin berkata, Nurul Izzah bukanlah nama baharu dalam perjuangan reformasi parti, malah sejak tahun 1998, beliau sudah berada di barisan hadapan bersama rakyat menuntut keadilan dan perubahan.
Katanya, keberanian Nurul Izzah sebagai anak muda pada waktu itu bukan sekadar simbol, sebaliknya bukti komitmen jitu terhadap prinsip reformasi yang terus dibawanya sehingga kini.
“Beliau (Nurul Izzah) mempunyai pengalaman luas di dalam parti dan pentadbiran negara sebagai bekas Naib Presiden PKR, bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Permatang Pauh, serta seorang reformis yang terus konsisten memperjuangkan isu rakyat seperti hak asasi, pendidikan dan ekonomi yang adil.
“Kepimpinan beliau mencerminkan keseimbangan antara idealisme anak muda dan kematangan politik dan ia sangat relevan bagi AMK yang mahu melihat generasi pelapis bergerak dengan berani namun berstrategi.
“Malah, Nurul Izzah juga menjadi inspirasi kepada ramai anak muda untuk terus aktif dalam perjuangan politik yang berprinsip. Kami AMK negeri merangkumi tiga cabang iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar menyokong penuh Nurul Izzah bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan kali ini.
“Sokongan ini juga mencerminkan kepercayaan kami terhadap peranan wanita dalam memimpin negara. PKR sentiasa memperjuangkan keterangkuman gender dan pencalonan Nurul Izzah adalah cerminan jelas kepada prinsip bahawa wanita mampu dan layak menggalas tanggungjawab dalam kepemimpinan tertinggi parti,” katanya di sini hari ini.
Nurul Izzah sebelum ini dikatakan telah bersedia untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden parti itu pada sesi pemilihan yang akan berlangsung 24 Mei ini.
Bagaimanapun, sejak semalam banyak suara akar umbi dan pemimpin parti mula melobi puteri reformasi itu agar bertanding sebagai Timbalan Presiden PKR.
Mengulas lanjut, Ahmad Azzin yang juga Ketua AMK cabang Padan Besar berkata, gabungan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden diyakini akan membawa kestabilan, kesinambungan dan sinergi dalam parti.
“Ia sekali gus bakal memperkukuh lagi PKR sebagai parti yang relevan, progresif dan diyakini rakyat. Oleh itu, kami menyeru semua anggota AMK dan PKR seluruh negara untuk bersama menyokong pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden,” katanya. – UTUSAN