PETALING JAYA: Kelulusan inkues oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir, 13 menunjukkan isyarat jelas bahawa tiada pihak terkecuali daripada siasatan dan keadilan mesti ditegakkan.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, keputusan tersebut membuktikan undang-undang sentiasa berpihak kepada kebenaran dan kepentingan awam, selain memberi mesej bahawa nyawa serta keselamatan pelajar tidak boleh dikompromi.
“Penghargaan buat Jabatan Peguam Negara atas langkah menjalankan inkues.
“Tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) memindahkan pengurusan sekolah ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah bagi menjaga ketelusan siasatan juga diraikan.
“Tidak ada kompromi bila melibatkan nyawa dan keselamatan pelajar. Biiznillah, moga keadilan dan kebenaran ditegakkan secepat mungkin,” katanya di Facebook miliknya hari ini.
Tambah Nurul Izzah, beliau tidak akan berhenti memperjuangkan sehingga orang yang bertanggungjawab menerima hukuman yang setimpal serta persekitaran yang selamat untuk anak-anak kita.
“Kita akan terus mengikuti dan memantau dengan rapat perkembangan terkini menerusi pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan AGC kerana setiap anak berhak untuk membesar dalam persekitaran yang selamat, bebas daripada ketakutan dan ancaman.
“Ini adalah tanggungjawab kita bersama untuk terus cakna, melindungi, dan memastikan tragedi seperti ini tidak berulang lagi,” katanya. – UTUSAN








