Pemilihan PKR Selangor: Tiada rombakan exco

Pemilihan PKR Selangor: Tiada rombakan Exco

Exco
MOHAMMAD Fahmi Ngah tewas dalam pertandingan dua penjuru ketika merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang Petaling Jaya dalam Pemilihan PKR 2025 peringkat cabang di Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiada rombakan Exco dijangka akan berlaku selepas keputusan Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 peringkat cabang di Selangor walaupun seorang anggota Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini tewas.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, tiada bayangan atau makluman diberikan oleh Menteri Besar berhubung kedudukan MMKN ketika ini.

“Kebiasaan berlaku dalam politik khususnya Keadilan, pemegang jawatan seperti Exco atau anggota MMKN yang tewas dalam pemilihan politik akan mengundur diri bagi memberikan laluan kepada wakil rakyat yang menang pula.

“Berbanding Amirudin, kedudukannya di Gombak pula semakin kukuh juga memberikan gambaran kepemimpinan parti sedia ada perlu diteruskan. Bagi beliau sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan, biar parti yang tentukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam, pemilihan di kesemua 22 cabang PKR di seluruh negeri ini selesai dengan menyaksikan perubahan di kawasan seperti Shah Alam apabila Mohd. Najwan Halimi yang juga Exco Kerajaan Selangor menewaskan penyandang Ketua Cabangnya, Rodziah Ismail dengan 314 majoriti.

Bekas Exco Kerajaan Selangor, Hee Loy Sian pula berjaya menewaskan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dalam merebut jawatan Ketua Cabang Petaling Jaya.

Bagaimanapun, bagi jawatan timbalan di cabang tersebut, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah pula tewas kepada Ahmad Akhir Pawan Chik dengan majoriti sebanyak 135 undi.

Sementara penulis lagu dan komposer, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad menewaskan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Mohd. Kamri Kamaruddin dengan majoriti 289 undi bagi jawatan Ketua Cabang Ampang.

ADUN Rawang, Chua Wei Kiat pula tewas kepada pencabarnya, Kamarudin Mohd Hussain yang mendapat 2,041 bagi jawatan Ketua Cabang Selayang.

Bagi jawatan Ketua Cabang Ampang pula, Timbalan Speaker DUN Selangor, Mohd.Kamri Kamaruddin tewas kepada ADUN Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (Altimet) dengan majoriti 289 undi.

Dalam pada itu, Saifuddin Shafi turut mengulas keputusan bagi Cabang Hulu Selangor apabila Dr. C. N. Sathia Prakash menang bagi jawatan Ketua Cabang dan beliau pula berjaya menduduki kerusi timbalan untuk dua penggal berturut-turut.

Menurutnya, dalam pemilihan tersebut, Dr. Sathia Prakash turut menewaskan calon yang disokong oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

“Hulu Selangor menunjukkan jumlah pengundi kedua teramai selepas Cabang Kota Raja iaitu sekitar 4,000 pengundi. Pencabarnya, bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui tewas dua kali berturut-turut sejak pemilihan pada 2022.

“Cabang Kota Raja menunjukkan jumlah pengundi paling ramai sekitar 6,000 orang dan pemenang bagi jawatan Ketua Cabangnya, Dr. R. G. Gunarajah yang juga ADUN Sentosa memperoleh undi iaitu 4,643, tertinggi berbanding cabang lain,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×