GEORGE TOWN: DAP Pulau Pinang bersedia menyediakan satu kursus khas berkaitan nama keluarga masyarakat Cina kepada pemimpin dan ahli Pas susulan kenyataan kontroversi yang dibuat oleh beberapa pemimpin parti itu sebelum ini.
Setiausaha Organisasi DAP negeri, Phee Boon Chee berkata, saranan itu dibuat sebagai langkah untuk mengatasi salah faham serta kenyataan mengelirukan yang sering ditimbulkan oleh Pas mengenai masyarakat bukan Melayu, khususnya kaum Cina.
“Jika Pas benar-benar memahami adat dan budaya masyarakat bukan Melayu, maka, mengapa parti itu berulang kali membuat kenyataan yang salah dan menyinggung perasaan masyarakat bukan Melayu, khususnya kaum Cina?
“Oleh itu, DAP Pulau Pinang bersedia mencari dana serta mendapatkan bantuan daripada tokoh budaya terkenal untuk memberikan kursus kepada semua pemimpin serta ahli Pas.
“Diharapkan dengan usaha ini, segala salah faham serta mitos yang berkaitan dengan budaya nama keluarga masyarakat Cina dapat diselesaikan sekali dan untuk selamanya,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, ahli akademik, Profesor Dr. Mohd Tajuddin Mohd Rasdi mencadangkan agar Pas menyediakan kursus bagi memahami nama keluarga masyarakat Cina. Namun, cadangan itu telah dibidas oleh Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari.
Mengulas lanjut, Boon Chee berkata, jika Pas benar-benar memahami adat dan budaya masyarakat bukan Melayu, tidak sepatutnya timbul isu seperti kenyataan yang dibuat oleh Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berhubung latar belakang Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
“Begitu juga dengan dakwaan tidak berasas yang pernah dibuat oleh Ahli Parlimen Pas, Siti Mastura Muhammad, yang cuba mengaitkan pemimpin-pemimpin DAP dengan mantan Perdana Menteri Singapura melalui hubungan ‘sepupu’ yang tidak berlandaskan fakta,” katanya.
Jelas Boon Chee, Pas kini telah menjadi sebuah parti yang tidak bertanggungjawab dalam memelihara hubungan antara kaum.
“Malah, Pas tidak lagi bersungguh-sungguh dalam melaksanakan politik matang dan sejahtera, sebaliknya bergantung kepada pembohongan, fitnah, dan kecaman untuk mengekalkan pengaruh politiknya,” katanya.
Tambahnya, jika Pas benar-benar ikhlas mahu berubah, maka langkah pertama yang boleh diambil adalah dengan memahami asal-usul nama keluarga masyarakat Cina. – UTUSAN










