‘YB Jai cari tin Milo banyak-banyak’

‘YB Jai cari tin Milo banyak-banyak’

MUHAMAD AKMAL Saleh ditemui selepas Sambutan Hari Zoonosis Sedunia Peringkat Negeri di Zoo Melaka, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis diingatkan bersedia sekiranya didenda RM100 juta oleh Barisan Nasional (BN) kerana bertindak melompat parti.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, semua ADUN Barisan Nasional (BN) telah menandatangani perjanjian sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November 2021 yang memperuntukkan denda RM100 juta jika melompat parti.

Katanya, Muhammad Jailani sebelum ini memenangi PRN atas tiket BN tetapi telah bertindak keluar parti dengan menyertai Pas sejak Jun tahun lalu.

“Dia kena ingat masa PRN lalu semua ADUN BN dalam Melaka ada menandatangani perjanjian antaranya kalau lompat parti boleh didakwa denda RM100 juta. Jadi YB (yang berhormat) Jai (Muhammad Jailani) cari tin Milo (tabung) banyak-banyak.

“Saya minta dia untuk bayar balik kepada UMNO (BN) RM100 juta sebab dia menang atas parti UMNO, tetapi kamu melompat (sertai Pas),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Zoonosis Sedunia Peringkat Negeri di Zoo Melaka di sini, hari ini.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka belum menerima pemakluman rasmi berhubung status Muhammad Jailani.

Ini termasuk sama ada notis keahlian terhenti dikemukakan wakil UMNO atau notis pertukaran parti daripada Muhammad Jailani sendiri.

Sementara itu, Muhamad Akmal turut menyangkal kenyataan Muhammad Jailani yang mendakwa beliau bertanggungjawab mengembalikan semula pentadbiran Melaka kepada UMNO daripada Pakatan Harapan (PH) pada 2020.

“Rakyat tidak perlu katak. Sebenarnya bukan kamu seorang Melaka naik tapi sebab kamu (juga) Melaka runtuh. Kamulah yang membawa kemusnahan sebenarnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×