Buah pinggang babi berfungsi 271 hari dalam tubuh pesakit

Buah pinggang babi berfungsi 271 hari dalam tubuh pesakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Buah pinggang babi yang dipindahkan ke dalam tubuh pesakit berjaya berfungsi selama 271 hari, tempoh paling lama direkodkan setakat ini, menurut doktor di Amerika Syarikat (AS).

Tim Andrews berkata, pemindahan itu memberinya harapan dan mengelakkan dia daripada perlu berulang-alik ke hospital selama berbulan-bulan untuk menjalani rawatan menapis darah menggunakan mesin dialisis.

Pasukan doktor di Hospital Mass General Brigham berkata, kajian itu menunjukkan organ babi berpotensi digunakan sebagai ‘jambatan’ sementara menunggu pemindahan organ manusia.

Bagaimanapun, organ babi itu akhirnya gagal berfungsi dan dikeluarkan, menyebabkan Andrews perlu menjalani rawatan dialisis untuk tempoh singkat sebelum organ daripada penderma manusia ditemui.

Doktor dan saintis kini meneroka bidang xenotransplantasi, iaitu penggunaan organ daripada spesies lain, berikutan kekurangan organ untuk pemindahan.

Di AS, kira-kira 100,000 pesakit kini menunggu pemindahan buah pinggang, sedangkan hanya sekitar 25,000 pemindahan dilakukan setiap tahun. Di United Kingdom (UK) pula, lebih 7,000 pesakit berada dalam senarai menunggu pemindahan buah pinggang.

Andrews diberitahu, dia mungkin perlu menunggu sehingga tujuh tahun untuk mendapat organ, sedangkan purata jangka hayat pesakit yang menjalani dialisis hanya sekitar lima tahun.

“Saya agak kesuntukan masa… keadaan itu menjadi sangat menyedihkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan peluang menjalani pemindahan buah pinggang babi sebagai harapan dan cahaya di hujung terowong.

“Harapan adalah perkara paling besar, iaitu peluang untuk bebas daripada mesin (dialisis) dan menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Babi dianggap haiwan paling sesuai untuk xenotransplantasi. Saiz organnya hampir sama dengan organ manusia, selain terdapat pengalaman bertahun-tahun dalam penternakan haiwan berkenaan.

Namun, buah pinggang babi tidak boleh diambil begitu sahaja untuk dipindahkan kepada manusia. Tubuh manusia akan mengenal pasti organ itu sebagai benda asing lalu mencetuskan tindak balas imun yang dahsyat sehingga memusnahkan buah pinggang berkenaan.

Organ itu boleh bertukar hitam dalam beberapa minit apabila setiap selnya rosak dan saluran darah di dalamnya mula membeku.

Justeru, penyelidik membangunkan baka babi mini Yucatan yang menjalani 69 pengubahsuaian genetik bagi “memanusiakan” organ mereka.

Pengubahsuaian itu membuang beberapa ciri pada sel babi yang boleh dikesan dan diserang sistem imun manusia, selain menambah DNA manusia yang bertindak seperti penyamaran untuk membantu menyembunyikan tisu babi daripada sistem imun.

Penyelidik turut mengubah suai gen babi bagi menyahaktifkan virus yang tersembunyi dalam DNA haiwan itu, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan selepas pemindahan.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×