Elak laksana sesuatu tidak digemari anak muda

Elak laksana sesuatu tidak digemari anak muda

SHAMSUL ANUAR Nasarah berucap pada Permukiman Pergerakan Puteri UMNO Melaka dan Johor di Kem Permata Melaka, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: UMNO perlu mengelak melaksanakan sesuatu yang hanya disukai ahli parti tetapi tidak digemari oleh rakyat khususnya anak muda.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, perkara perlu dilakukan adalah memenuhi keinginan anak muda di luar parti yang ramai bilangannya, di samping kekal menjaga para ahli.

Jelasnya, ia penting kerana berdasarkan data Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menunjukkan pengundi muda adalah seramai 9.8 juta orang manakala 5.3 juta orang merupakan anak muda Melayu.

“Manakala ahli Pemuda dan Puteri UMNO hanya 13 peratus daripada pengundi muda Melayu dan tujuh peratus daripada anak muda di Malaysia.

“Semua ini perlu kerana jumlah anak muda akan menjadi majoriti dan bakal penentu kepada masa depan sesebuah parti dalam pilihan raya akan datang, termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Situasi ini merupakan cabaran besar kepada Puteri UMNO, kerana mengikut data UMNO Malaysia sehingga Oktober 2022, ahli Pemuda dan Puteri hanyalah sekitar 700,000 orang,” katanya.

Beliau merasmikan Permukiman Pergerakan Puteri UMNO Melaka dan Johor di Kem Permata Melaka di sini, semalam.

Tambah Shamsul Anuar, biarpun jumlah ahli Pemuda dan Puteri hanya 700,000 orang, barisan kepemimpinan sayap itu mesti berusaha usaha agar menjadi popular dan penting kepada generasi muda.

“Realitinya anak muda punyai cita rasa, keinginan, latar belakang yang berbeza. Cabarannya adalah bagaimana Puteri UMNO mahu memenuhi keinginan, cita rasa mereka yang berbeza ini.

“Ia tidak mudah dilakukan, namun Puteri UMNO tiada pilihan dan mesti melakukannya demi masa depan UMNO parti yang kita cintai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN