MELAKA: Sebanyak RM25,000 berjaya dikumpulkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam tempoh kurang 12 jam melalui larian ‘Langkah Muar’ yang dimulakannya, pagi tadi.
Ketika ditemui di Ayer Molek di sini, Syed Saddiq berkata, beliau telah menghabiskan larian sejauh 34 kilometer (km) setakat pukul 1 petang tadi dan dijangka menghabiskan sasaran 70 km untuk hari ini menjelang pukul 10 malam ini.
Ujarnya, wang yang dikumpulkan merupakan hasil sumbangan orang ramai sepanjang beliau melakukan larian di sekitar negeri ini.
“Paling unik sekali sambil berlari ke Melaka sebentar tadi, ramai juga kereta, pak cik dan mak cik berhenti untuk berikan makanan serta minuman, memang saya terharu.
“Malah ada pak cik bernama Abdul Rahman dan Nor Hisham berhenti siap berikan sumbangan terus dan saya amanahkan kepada pegawai saya untuk terus depositkan ke dalam bank secepat mungkin,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Syed Saddiq melancarkan Langkah Muar yang mana bakal menyaksikan dirinya akan berlari sejauh 200km sebagai tanda protes kepada kerajaan dalam isu pemberian peruntukan kepada pembangkang.
Kempennya itu bagi menghantar isyarat yang jelas terhadap ketidakadilan dihadapi oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Larian itu bermula dari Jambatan Muar, Johor sehingga ke Parlimen, Kuala Lumpur.
Tambah Syed Saddiq, beliau akan meneruskan larian sehingga ke Alor Gajah dan akan berhenti berehat sebelum menuju ke Negeri Sembilan.
“Kita ada masa dua hari lagi. Sakit (cabaran) itu biar di dalam yang penting terus ke hadapan, hujan atau panas saya akan teruskan kerana tempoh masa agak singkat,” jelasnya. – UTUSAN










