MELAKA: Kerajaan negeri akan melaksanakan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula pertengahan Julai ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, mesyuarat itu bakal melibatkan semua agensi kerajaan yang berkenaan bagi menyelesaikan isu setempat.
Jelasnya, pelaksanaan itu juga merupakan usaha untuk merakyatkan pentadbiran kerajaan negeri agar masalah yang membelenggu masyarakat mendapat perhatian sewajarnya.
“MMKN akan diadakan di setiap Japerun dan seluruh DUN. Kita akan bermula dua minggu lagi.
“Ini merupakan usaha untuk merakyatkan pentadbiran kerajaan negeri, sekali gus dapat menyantuni rakyat bagi menyelesaikan isu secara bersama,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Jom Heboh di Dataran Perbadanan Melaka (MCorp), Ayer Keroh di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, tambah Ab. Rauf, sebanyak lima acara pelancongan menarik telah disusun bagi memeriahkan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 sepanjang Julai ini.
Ujarnya, antaranya adalah Muhibah Budaya Jalur Rempah: Kapal Dewa Ruci Indonesia pada 30 Jun hingga 3 Julai yang merupakan persinggahan kapal bersejarah Indonesia ke Melaka.
“Acara kedua, ceramah perdana oleh Ustaz Abdul Somad sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri pada 6 Julai di Stadium Hang Jebat.
“Acara ketiga adalah Melaka Heritage Festival sempena Sambutan Ulang Tahun Melaka Bandaraya UNESCO pada 12 hingga 14 Julai dan lain-lain,” jelasnya. – UTUSAN










