MELAKA: Pemuda UMNO akan mengusulkan cadangan mewujudkan sekolah satu aliran kepada Kerajaan Perpaduan bagi menjamin keharmonian kaum di negara ini.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ini kerana rakyat Malaysia telah dibezakan sejak kecil oleh sekolah yang mewakili kaum tertentu seperti sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan tamil (SJKT).
Kata beliau, pemansuhannya bakal menjadikan integrasi kaum semakin kuat dan mengukuhkan perpaduan.
“Kita akan mengadakan sesi perbincangan dan perbahasan selepas ini di seluruh negara untuk kita mencadangkan mewujudkan semula sekolah satu. Kita rasa amat penting sebab daripada kecil dibezakan mengikut pelbagai sekolah, jadi biar semua orang Melayu, Cina dan India belajar di satu sekolah yang sama.
“Tiada lagi sekolah SJKT dan SJKC, maka lebih mudah dan ramai anak-anak kita belajar di sekolah sama. Tidak adalah orang Cina duduk (bersekolah) di SJKC, Melayu di sekolah kebangsaan dan India di SJKT. Kita gabung semua, tiada masalah.
“Justeru, perkara ini perlu dikaji balik dan mesti diwujudkan sekolah satu aliran. Apa yang dipelajari di sekolah Tamil dan Cina mesti diasimilasikan dan kita belajar di sekolah kebangsaan sahaja,” katanya dalam sidang akhbar ketika Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Muhamad Akmal berkata demikian bagi mengulas cadangan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai yang mahu melaksanakan kempen menggalakkan lebih ramai kaum Cina menyertai perkhidmatan awam.
Tambah Muhamad Akmal, usaha itu boleh dilakukan kerana ramai pihak yang mahukan golongan bukan bumiputera memasuki perkhidmatan awam.
Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, cadangan tersebut bagaimanapun perlu mendapat sokongan semua terutama parti politik.
“Hari ini kita hendak bercakap perlu lebih ramai penjawat awam daripada bukan bumiputera, maka kita pun boleh tukar daripada segi pendidikan. Kita jangan hanya bercakap untuk satu pihak sahaja tetapi pihak lain reserve (isu pendidikan) itu, ini tidak boleh.
“Jadi kita minta usul ini disokong oleh pembangkang mahupun kerajaan tidak kira apa parti. Kita bercakap mengenai jaminan integrasi kaum mesti bermula daripada pendidikan dan ini mesti bermula daripada political will (kehendak politik) setiap parti,” ujarnya. – UTUSAN










