Tun Mohd. Ali minta prosedur pelaburan Melaka ditambah baik

Tun Mohd. Ali minta prosedur pelaburan Melaka ditambah baik

MOHD. ALI Mohd. Rustam memeriksa kawalan kehormat pada perasmian Pembukaan Sidang Pertama Penggal Ketiga DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Prosedur serta urusan pelaburan di negeri ini perlu diteliti dan ditambah baik bagi mempermudahkan urusan pelabur.

Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam berkata, Invest Melaka Berhad (Invest Melaka) disaran bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan untuk mewujudkan sinergi yang dapat meningkatkan imej Melaka sebagai negeri mesra pelabur.

Kata beliau, Invest Melaka juga harus lebih proaktif sebagai pusat khidmat dan membimbing para pelabur.

“Saya menyambut baik terhadap fokus kerajaan negeri bagi menjadikan Melaka sebagai negeri mesra pelabur. Invest Melaka diharap akan lebih proaktif sebagai pusat khidmat setempat dan bimbingan kepada pelabur dan bakal pelabur yang berpotensi.

“Invest Melaka juga diharap dapat mengadakan kerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan untuk meneliti prosedur-prosedur sedia ada dan mencadangkan penambahbaikan bagi mempermudahkan urusan pelabur ke Melaka,” katanya dalam ucapan perasmian Pembukaan Sidang Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Sidang Pertama Penggal Ketiga DUN Melaka berlangsung selama tiga hari hingga Khamis ini dengan satu usul akan dibentangkan termasuk 104 pertanyaan lisan dan 108 pertanyaan bertulis.

Tambah Mohd. Ali, Melaka mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM45.5 bilion pada 2022, iaitu meningkat sebanyak 8.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurutnya, sektor perkhidmatan menjadi penyumbang tertinggi iaitu bernilai RM23 bilion diikuti pembuatan (RM16.9 bilion), pertanian (RM4.5 bilion) dan pembinaan (RM943 juta).

Dalam pada itu, Mohd. Ali turut menyentuh pemerkasaan pelajar dalam bidang akademik, pemberdayaan bidang pendidikan dan memberi perhatian terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terutama penyertaan golongan belia.

“Saya menyarankan pihak universiti perlu sentiasa konsisten dalam menjalankan kajian serta penyelidikan dan pembangunan agar ia boleh menjadi sumber pendapatan baharu dan berterusan kepada Melaka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN