MELAKA: Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menyindir Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub kerana mengeluarkan fakta tidak tepat berhubung Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.
Beliau berkata, dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban itu yang mengatakan bahawa ramai tidak mengetahui tentang TMM 2024 sangat mengelirukan.
“Macam mana dia kata boleh ramai tidak tahu? Pada 20 Februari lalu Melaka sesak di semua tempat pagi hingga malam sampai orang tidak boleh datang.
“Dia kata pergi ke lapangan (turun padang) jadi saya fikir dia turun mana, ke lapangan terbang atau tanah lapang? Jadi itu yang menimbulkan tanda tanya saya sedangkan Takwim TMM 2024 telah lengkap setiap bulan.
“Hakikatnya semasa pelancaran TMM 2024 seramai 40,000 hingga 50,000 orang datang. Tapi tidak apalah saya tidak ambil hati kerana itulah dia pembangkang, apa kita buat tidak betul,” katanya dalam sidang akhbar ketika Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohd. Yadzil ketika membahaskan usul terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam mendakwa, ramai rakyat negara ini tidak mengetahui tentang TMM 2024 walaupun telah memasuki suku pertama tahun ini.
Menurutnya, tinjauan di lapangan bersama pelancong mendapati, mereka tidak mengetahui tentang TMM 2024 selain mempertikaikan kurangnya iklan kempen itu di media massa. – UTUSAN










