MELAKA: Pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) di negeri ini diakui rendah selepas merekodkan jumlah pendaftaran hanya 108,934 orang, setakat 4 Mac lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, angka itu mewakili kira-kira 16 peratus daripada sasaran awal ditetapkan iaitu seramai 680,000 orang.
Tegas beliau, rasa tidak yakin dalam kalangan rakyat terhadap PADU menyebabkan ramai yang tidak mendaftar.
“Melaka berada di kedudukan ke-13 daripada 16 kawasan yang ditetapkan kerajaan Persekutuan dan jarak (perbezaan) antara tiga kawasan terbawah tidak jauh. Pendaftaran tertinggi direkodkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput iaitu seramai 7,223 orang manakala Serkam mencatatkan pendaftaran terendah dengan 690 orang.
“Hebahan telah dilakukan dan saya percaya jumlah ini boleh ditingkatkan. Rakyat di luar sana masih was-was dan kurang yakin tetapi saya seru yakinlah kerana kita bimbang ramai rakyat yang layak terima subsidi tidak lagi akan mendapat bantuan jika tidak mendaftar sehingga 31 Mac ini,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan tambahan Siti Faizah Abdul Azis (BN-Sungai Rambai) mengenai jumlah rakyat Melaka yang telah mendaftar PADU.
Tambah Fairul Nizam, bagi memastikan pendaftaran PADU berjaya, kerajaan negeri menganjurkan sesi libat urus melibatkan 1,200 orang yang terdiri daripada wakil Parlimen, DUN, jabatan Persekutuan dan negeri serta pemimpin komuniti.
Menurutnya, Jabatan Perangkaan dan Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuka kaunter fizikal di pejabat daerah, Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Ekonomi Digital (PEDi).
“Gerak kerja bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telak digerakkan untuk membuka kaunter fizikal di penempatan orang asli. Hebahan turut dibuat di masjid, surau, pasar raya dan tumpuan umum untuk kemudahan warga emas.
“Sehingga 5 Mac, sebanyak 612 bilangan kaunter telah dibuka untuk membantu rakyat Melaka mengemas kini PADU,” katanya. – UTUSAN










