MELAKA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebulat suara melantik semula bekas Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Koh Nai Kwong, 63, sebagai Ahli Dewan Negara untuk penggal kedua.
Pelantikan itu mendapat persetujuan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebaik sahaja Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengemukakan cadangan tersebut.
Seramai 23 ADUN menyokong, dua berkecuali manakala tiga lagi tidak hadir.
Terdahulu, Ab. Rauf mencadangkan satu nama iaitu Nai Kwong sebagai senator dan notis pencalonan telah diterima pada 28 Februari lalu.
Cadangan itu kemudian disokong Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka merangkap ADUN Kesidang, Allex Seah Shoo Chin.
Sebelum ini, Nai Kwong dilantik menjadi Ahli Dewan Negara pada 21 Disember 2020 dan tamat tempoh perkhidmatan pada 9 Disember 2023. – UTUSAN









