Petisyen Masjid Tanah: Abdul Hakim enggan ulas, fokus PRU akan

Petisyen Masjid Tanah: Abdul Hakim enggan ulas, fokus PRU akan datang

ABDUL HAKIM Abdul Wahid (dari kiri), Mas Ermieyati Samsudin, Mutalib Uthman dan Handrawirawan Abu Bakar menunjukkan isyarat tangan sebagai simbolik nombor di kertas undi selepas selesai penamaan calon di Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid enggan mengulas lanjut keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan kemenangan Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO Melaka itu berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh untuk memberikan pandangan.

ABDUL HAKIM ABDUL WAHID

“Saya ingat yang boleh menjawab perkara ini adalah Datuk Seri Ab. Rauf sebab dia Pengerusi BN di Parlimen (Masjid Tanah). Saya serahkan kepada dia.

“Tetapi sebagai Ketua Pemuda UMNO negeri, kita akan buat kerja-kerja parti seperti biasa. Kita akan berusaha untuk mengembalikan sokongan orang ramai kepada UMNO, insya-Allah akan menang pilihan raya akan datang,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Mahkamah Persekutuan mengekalkan Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah.

Pada PRU15, Mas Ermieyati yang juga Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah menang dengan majoriti 4,411 undi dalam saingan empat penjuru selepas memperolehi 25,604 undi.

Bagaimanapun, Abdul Hakim yang memperoleh 21,193 undi memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi, namun ditolak sebelum membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan mengarahkan perbicaraan penuh di Mahkamah Pilihan Raya dan pada 27 Oktober 2023, mahkamah berkenaan menolak petisyen dengan alasan tiada bukti mencukupi berlakunya amalan rasuah.

Abdul Hakim sekali lagi memfailkan notis rayuan pada 10 November 2023 kepada Mahkamah Persekutuan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Abu Bakar Katar.

Namun, dengan keputusan terbaharu itu, kedudukan Mas Ermieyati tidak lagi boleh dicabar sehingga Dewan Rakyat dibubarkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN