MELAKA: Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar 12 wakil rakyat PKR menyertai misi kemanusiaan di Palestin agar kesemua mereka mengetahui dengan lebih jelas tentang konflik kemanusian yang sedang berlaku di sana.
Ini susulan kenyataan dikeluarkan 12 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji semula keputusan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pendidikan awam bermula hari ini.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, modul mengenai isu sebenar yang berlaku di Palestin dan sejarah bagaimana konflik Palestin-Israel bermula perlu dididik kepada murid-murid agar mereka dapat memahami serta menjiwainya.
“Pemuda UMNO menyokong penuh KPM untuk menganjurkan program Solidariti Palestin di sekolah dan tidak perlu dibatalkan.
“Kefahaman ini penting supaya generasi baharu Malaysia mempunyai literasi yang tuntas, bagaimana rakyat Palestin ditindas dan dizalimi, apakah puncanya, siapa dan institusi mana yang terlibat, apa tindakan bantuan yang boleh dilakukan. Ia membina kesedaran dan semangat solidariti dalam diri mereka.
“Ini bukan soal unsur keganasan dan elemen dendam seperti yang dinyatakan oleh 12 wakil rakyat ini. Ia banyak berkait soal bagaimana kita boleh tingkatkan kesedaran secara terpimpin terhadap konflik Palestin-Israel. KPM wajar terus laksanakan.
“Saya juga ingin mencadangkan agar Perdana Menteri dapat menghantar 12 wakil rakyat ini ke misi kemanusiaan di Palestin agar mereka dapat tahu dengan lebih jelas tentang isu yang berlaku di sana, jika masih lagi tidak memahami apa yang berlaku,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kesemua wakil rakyat terlibat mahu penelitian semula terhadap program itu demi menjamin sekolah dan institusi awam bebas daripada unsur dendam dan keganasan.
Ahli Parlimen terlibat ialah Tan Kar Hing (Gopeng), Lee Chean Chung (Petaling Jaya) dan Chiew Choon Man (Miri).
ADUN yang turut serta ialah Wong Chai Yi (Simpang Pulai), Chan Chun Kuang (Semambu), Chua Wei Kiat (Rawang), Lee Boon Heng (Kebun Bunga), Yew Boon Lye (Chuah), Goh Choon Aik (Bukit Tambun), David Cheong Kian Yong (Kajang), Arthur Chiong Sen Sern (Bukit Batu) dan Adam Loh Wei Chai (Bakar Arang). – UTUSAN