Terima kasih, bantu menangkan PN - Mohd. Mazri

Terima kasih, bantu menangkan PN – Mohd. Mazri

MOHD. MAZRI Yahya (tengah) menemui penyokongnya di sebuah gerai di Simpang Jeram, Muar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Keputusan kes mahkamah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bakal membantu Perikatan Nasional (PN) meraih kemenangan dalam dua pilihan raya kecil (PRK) di Johor, 9 September ini.

Calon PN PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Dr. Mohd. Mazri Yahya mengakui, pada asalnya jentera Pas tidak berniat untuk menggunakan kes Presiden UMNO itu sebagai senjata baki minggu terakhir berkempen.

Namun, beliau menyifatkan, keputusan kes Ahmad Zahid yang sepatutnya membantu Pakatan Harapan (PH) telah tersilap langkah sehingga memberi kelebihan besar kepada pembangkang.

“Senjata Zahid sebenarnya bukan senjata kita, tapi kita panggil sebagai peluru mereka sendiri. Kalau bertanding perlawanan bola, pemain pasukan dia menendang bola ke dalam gol sendiri sebab dia beri keuntungan kepada kita sebenarnya.

“Kita timbulkan masalah anti rasuah dan menentang rasuah 20 tahun, sama ada PKR dan DAP dianggap sebagai juara menentang rasuah kerana selama ini menegakkan integriti dan tatakelola baik. Tiba-tiba hari ini semua dibakulsampahkan oleh kerajaan hari ini, jadi ia memberikan satu signal (isyarat) yang salah kepada masyarakat dan rakyat,” katanya ketika ditemui di Markas Pas Bakri di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Mazri, PN wajar dilihat sebagai juara menentang rasuah terutamanya Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerana sanggup berkorban sehingga dibuang dari UMNO dan melepaskan jawatan Perdana Menteri semata-mata enggan berkompromi soal rasuah.

“Kita juga tidak menerima mana-mana ahli Parlimen yang mempunyai isu rasuah dan mahkamah untuk jadi ahli Kabinet, malah kita tidak terima apa-apa berkaitan rasuah. Kalau nak cerita tentang integriti dan anti rasuah ia sebabnya sudah menjadi milik PN,“ katanya.

Justeru, beliau menyifatkan, keputusan kes Ahmad Zahid akan memberikan impak positif kepada PN, terutama pengundi tegar yang menyokong PKR dan DAP sebelum ini.

“Ini secara tidak langsung akan mempengaruhi pengundi dan memberi kesan positif kepada PN dan mungkin kesannya besar sama ada di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai.

“Ada lebih kurang 70 peratus pengundi dulunya undi UMNO mungkin akan berpihak kepada kita dan kita percaya, jumlah ini akan meningkat terutamanya pengundi bukan Melayu sama ada mereka tidak keluar mengundi atau mengundi kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN