MUAR: Pengundi UMNO dan Barisan Nasional (BN) dinasihatkan tidak terpengaruh dengan kempen sesetengah pihak yang membawa naratif supaya tidak keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, 9 September ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan wujudnya kempen sedemikian dan ia berkemungkinan bertambah rancak pada pusingan kedua kempen.
“Jentera akan bekerja lebih keras dalam pusingan terakhir kempen dan kita harap pengundi UMNO yang dikenali sebagai pengundi putih, jangan terjebak dengan kempen termasuk penghuluran apa yang dipanggil sebagai ‘sedekah’ untuk tidak keluar mengundi.
“Mari kita sama-sama keluar mengundi dan ketepikan perbezaan parti kerana calon adalah parti Kerajaan Perpaduan, kita hendaklah mendukung mereka kerana kita harap mereka juga menyokong kita dalam DUN Pelangai nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Sentuhan Kasih Desa di Sungai Abong di sini, hari ini.

Presiden UMNO itu turut memberi jaminan akan menggandakan usaha dalam kalangan pengundi UMNO dan ahli-ahli parti bagi kempen akan datang.
“Jangan terkeliru dengan propaganda pembangkang yang mengelirukan pengundi atas isu 3R (agama, raja, kaum) dan isu terkait dengan soal kerajaan Pusat dan negeri.
“Jentera UMNO, BN dan Menteri Besar Johor memobilisasikan semua jentera penerangan untuk menolak segala kekeliruan itu jika masih ada (dalam kalangan) pengundi Melayu terutama pengundi UMNO,” katanya.
Tambah Ahmad Zahid, meskipun terdapat beberapa pihak yang sukar meramalkan keputusan 9 September ini, namun beliau menjangkakan keputusan positif dalam PRK kali ini.
“Penganalisis-penganalisis politik menjangkakan Simpang Jeram peluangnya 50-50, itu kata mereka.
“Tapi saya yakin pengundi di Johor telah menilai calon mana terbaik dan sejauh mana kerajaan pusat dan negeri telah berikan, bukan sekadar gambaran tapi secara keseluruhan demi kestabilan politik yang dapat memantapkan pertumbuhan ekonomi,” katanya. – UTUSAN