MUAR: Keputusan kes mahkamah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai satu titik gelap dalam sejarah keadilan negara.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa, ini kerana Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berjanji akan menghantar Ahmad Zahid ke penjara ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Seluruh jentera PH khususnya DAP menjual kempen dan janji, kita jangan hantar Zahid ke Putrajaya tapi hantar Zahid ke Sungai Buloh.
“Kepada pengundi, saya nak beritahu kamu telah ditipu hidup-hidup oleh DAP, kamu undi lawan Barisan Nasional (BN) atas sebab kononnya kami akan gugurkan kes Zahid, yang buat kerja itu bukan kami Perikatan Nasional (PN), yang buat itu adalah pemimpin PH yang ada dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam ceramah Pentas Anak Muda PN sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di sini, malam tadi.
Tambah Wan Ahmad Fayhsal, beliau juga tidak bersetuju dengan perbandingan kes dibuat antara Ahmad Zahid dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kita dah tengok Muhyiddin bebas tapi kes tak sama. Muhyiddin dilepaskan dan dibebaskan, kes Zahid dilepaskan tidak dibebaskan. Bukan bebas sepenuhnya, dia boleh didakwa semula.
“Persoalannya, kenapa dah nak sampai garisan penamat digugurkan timbalan pendakwa raya, kalau baca balik laporan dari 2020 hingga ke tahun ini, beliau telah berjaya membuktikan prima facie ke atas kes ini dan hakim menerimanya sebab itu panggil 90 orang saksi memberi keterangan dan pembelaan,” katanya.
Selepas 77 hari dibicarakan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Machang itu turut mempersoalkan tindakan timbalan pendakwa raya kes Ahmad Zahid yang bersara awal, melantik timbalan pendakwa raya baharu dan peguam negara baharu.
“Saya nak tanya siapa buat keputusan untuk menggugurkan kes Ahmad Zahid? Siapa buat penghujahan? Kita tahu mesti ada tangan-tangan ghaib lebih berkuasa menentukan sama ada mereka boleh buat kerja menggugurkan kes Zahid,” katanya. – UTUSAN