MUAR: Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyeru semua pengundi termasuk Pakatan Harapan (PH) dan UMNO di kerusi Dewan Undangan (DUN) Simpang Jeram supaya mengundi Perikatan Nasional (PN), susulan keputusan kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, seruan itu berdasarkan kepada keyakinan terhadap realiti politik semasa serta momentum PN dan penerimaan masyarakat yang positif, membuatkan beliau yakin pengundi bijak memilih dan percaya perubahan akan berlaku sehingga ke Johor.
Malah, beliau menyifatkan PH dan Barisan Nasional (BN) masih belum dapat bekerjasama dengan baik ketika ini, sekali gus memberikan peluang kepada PN untuk meraih lebih banyak undi.
“Mereka baru bertemu (bekerjasama) dan dalam tempoh setahun ini, saya tak nampak lagi mereka boleh bertemu dengan baik, itu cerita merekalah, tapi saya yakin rakyat semua menilai.
“Tapi bagi saya, tukar semualah, saya minta bukan pengundi UMNO sahaja, saya minta semua sekali undi PN,” katanya ketika ditemui pemberita di Markas Pas Bakri di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau juga mempertahankan pendekatan digunakan partinya dengan memainkan isu agama dalam setiap kempen pilihan raya dan ceramah kelompok ketika ini.
“Kempen kita adalah selaras iaitu satu sahaja, kita kempen untuk Malaysia yang lebih baik dan untuk pastikan Malaysia lebih baik, kita kena pastikan bahawa agama mesti berada di tempat yang tertinggi, kerana agama Islam penuh dengan nilai-nilai yang terbaik untuk pembinaan peribadi dan negara.
“Jadi, dalam PN, agama kita depankan, apabila kita ke depankan agama, maka semua aspek kita akan sentuh adalah yang terbaik untuk rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Nik Mohamad Abduh yang dijangka mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara hujung bulan ini setelah dicalonkan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan menafikan dakwaan bahawa beliau dipinggirkan sebelum ini.
Ini setelah namanya tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta tidak tersenarai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
“Ini bukan soal diketepikan, itu cerita media, saya yang memohon untuk berundur daripada awal. Cerita saya bermula daripada saya menarik diri untuk bertanding di Parlimen Bachok untuk tidak sambung kerana atas sebab-sebab yang telah saya jelaskan.
“Jadi, dalam tempoh selepas saya tidak bertanding, Pas minta saya bertanding balik, jadi saya minta masa untuk uruskan beberapa perkara, jadi tidak timbul soal meminggirkan, sebenarnya tidak timbul isu itu, hanya media sahaja. Sekarang, bila orang dah lantik saya kena ambil tugas, sebab itu saya datang ke Johor,” katanya. – UTUSAN










