MUAR: Calon Pakatan Harapan (PH), Ir. Nazri Abdul Rahman berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram setakat pukul 10 pagi tadi yang sudah mencapai 18 peratus, berdasarkan laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata, momentum pengundi keluar mengundi diharap kekal hingga lewat petang serta mencapai sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus.
“Saya rasa puas hati dengan jumlah mereka yang keluar mengundi dan mudah-mudahan semakin ramai yang akan terus keluar mengundi.
“Boleh dikatakan agak memberangsangkan juga kerana bukan sahaja warga emas tapi anak muda pun dah mula beratur seawal pukul 8 pagi tadi,” katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chai di sini, hari ini.

Nazri bersama isteri tiba di pusat mengundi berkenaan kira-kira pukul 10 pagi tadi. Nazri merupakan satu-satunya calon yang mengundi untuk PRK DUN Simpang Jeram memandangkan dua lagi calon iaitu Dr. Mohd. Mazri Yahya (Perikatan Nasional) dan S. Jeganathan (Bebas) adalah pengundi luar.
Seramai 40,301 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat mereka pada PRK DUN Simpang Jeram.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan di sebelah pagi di Simpang Jeram dan Parlimen Pulai, manakala ribut petir pada petang.
Tepat pukul 8 pagi tadi, sebanyak 61 pusat mengundi dibuka melibatkan 47 pusat mengundi dengan 294 saluran di Pulai, manakala 14 pusat mengundi membabitkan 68 saluran di Simpang Jeram sehingga pukul 6 petang. – UTUSAN