HULU SELANGOR: UMNO mempunyai peranan penting dalam Kerajaan Perpaduan terutama dalam memastikan kestabilan politik negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kematangan UMNO sebagai parti politik Melayu terbesar dalam kerajaan juga telah membantu memperkukuh dan melancarkan fungsi pentadbiran negara.
“Saya meletakan kepercayaan yang penuh terhadap kepimpinan UMNO bagaimana memposisikan kedudukan mereka. UMNO merupakan parti berteraskan Melayu terbesar dalam kerajaan dengan 30 Ahli Parlimen. Parti itu juga memegang lapan jawatan menteri penuh.
“Ini menunjukkan peranan signifikan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan. Kerajaan kekal mantap, utuh, bersatu dan berfungsi dengan baik. Saya juga percaya kematangan politik yang ditunjukkan UMNO dalam konteks Kerajaan Perpaduan meningkatkan lagi kestabilan politik,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun merupakan isyarat jelas bahawa kepimpinan negara itu bukan satu tempoh berlama-lama tetapi adalah prinsip yang harus dipikul.
“Seorang perdana menteri boleh menterjemahkan idea, dasar dan perubahan dalam tempoh 10 tahun memegang jawatan. Langkah itu bukan satu tempoh berlama-lama tetapi prinsip tanggungjawab dan ketanggungjawapan.
“Rakyat juga boleh menilai dengan adil bahawa di bawah sebuah kepimpinan dalam 10 tahun. Rakyat akan menilai berdasarkan dasar dan perubahan yang dilakukan. Pada masa sama, rakyat juga boleh memilih dengan jelas dan saksama serta tidak bersandarkan sebarang sentimen,” katanya. – UTUSAN










