MUAR: Tidak sempat menukar alamat pengundi menyebabkan colon Bebas, S. Jeganathan tidak berpeluang mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram.
Jeganathan berkata, pilihan raya kali ini diadakan mengejut selepas penyandang kerusi, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 23 Julai lalu.
Katanya, walaupun tinggal dalam DUN berkenaan, namun beliau mengundi di DUN Bukit Naning kerana bertanding sebagai calon Bebas di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Hasil pemantauan di beberapa pusat mengundi, saya berpuas hati dengan peratusan pengundi keluar walaupun masih kecil.
“Dijangka pengundi akan keluar lebih ramai pada lewat petang ini berdasarkan pemerhatian dilakukan di Sekolah Agama Tun Dr. Ismail,”katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Tambah Jeganathan, cuaca yang amat baik sekarang ini perlu digunakan sepenuhnya orang ramai keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. – UTUSAN