Harga bahan api: Kerajaan perlu jelaskan rasional guna APM

Harga bahan api: Kerajaan perlu jelaskan rasional guna APM

Nurul Islam Mohamed Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas menggesa supaya kerajaan memberikan penjelasan berhubung sistem mekanisme harga automatik (APM) yang sering digunakan berhubung kenaikan harga jualan bahan api kepada pengguna.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan Pas Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, sistem APM sering digunakan kerajaan namun dakwanya ia tidak menyentuh isu asas berkaitan kos sebenar bekalan sedia ada.

Katanya, kerajaan seharusnya memberi penjelasan mengapa bahan api yang diperoleh pada harga lebih rendah sebelum ini dijual pada kadar lebih tinggi kepada rakyat.

“Saya mempersoalkan rasional penggunaan sistem APM dalam situasi ini yang dilihat sebagai alasan tidak memadai untuk menjelaskan kenaikan mendadak harga minyak.

“Penjelasan yang lebih telus diperlukan supaya rakyat memahami asas penentuan harga bahan api,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut memberikan analogi situasi berkenaan seperti peniaga yang telah menyediakan produk menggunakan kos lama, namun menaikkan harga jualan selepas berlaku peningkatan kos baharu walaupun tidak terlibat secara langsung dalam pengeluaran semasa.

“Kenyataan bahawa bekalan semasa dibeli pada harga lebih tinggi juga dilihat tidak selari dengan pendekatan terdahulu yang tidak mengambil kira stok lama ketika harga lebih rendah.

“Keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa pengguna menanggung beban yang tidak sepatutnya,” katanya.

Tambah beliau, kenaikan harga diesel memberi kesan besar kepada rantaian ekonomi termasuk peningkatan kos barangan dan perkhidmatan yang akhirnya ditanggung rakyat.

“Kerajaan perlu memberi penjelasan menyeluruh dan konsisten daripada pihak berwajib bagi meredakan keresahan rakyat yang semakin meningkat berhubung kos sara hidup,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN