PN yakin pertahan tiga negeri, saingan sengit di P. Pinang

PN yakin pertahan tiga negeri; saingan sengit di P. Pinang rampas Selangor, N. Sembilan

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) yakin akan mempertahankan kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah serta memberi saingan sengit di Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, gabungan parti politik itu juga dijangka mengambil alih kerajaan negeri di Selangor dan Negeri Sembilan yang kini diterajui Pakatan Harapan (PH).

Bekas Ahli Parlimen Tambun itu berkata, jangkaan itu berdasarkan kepada sentimen pengundi di peringkat akar umbi yang kecewa dengan kerjasama erat antara UMNO dan DAP serta bibit perpecahan dalam parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Saya melihat dan membaca pelbagai analisa serta kajian yang dibuat oleh banyak pihak berkaitan parti yang akan menang dalam PRN kelak.

“Namun sentimen di bawah terutamanya dalam kalangan orang Melayu terhadap parti yang memerintah terutamanya Barisan Nasional (BN) semakin pudar dan mereka telah sedia untuk beralih arah,” katanya kepada para pemberita dalam Majlis Minum Petang Bersama Peja di sini petang tadi.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Rundingan Kerusi mewakili Bersatu berkata, perpecahan yang berlaku antara PH dan BN kini semakin jelas dan tidak mampu diselindungi lagi.

Jelasnya, percaturan pembahagian kerusi antara gabungan itu lebih banyak mengundang masalah berbanding kerjasama erat yang sering dilaung-laungkan.

Menurutnya, masalah itu telah memberi kelebihan kepada PN bukan saja di Negeri Sembilan tetapi di semua enam negeri yang mengadakan PRN.

“Para pemimpin dan calon PH kini tidak boleh lagi menganggap kerusi tradisi mereka sebagai simpanan tetap kerana kami akan pastikan mereka akan berdepan cabaran sengit,” ujarnya.

Ditanya mengenai calon Menteri Besar yang akan diketengahkan oleh PN di negeri ini, Ahmad Faizal memberitahu, semua calon yang dinamakan kelak mempunyai potensi untuk diangkat sebagai Menteri Besar.

“Yang penting PN tidak akan bergantung kepada seorang calon semata-mata tetapi satu pasukan yang mampu mentadbir negeri dengan cekap dan berkesan dengan rakyat menjadi penerima manfaat terbesar daripada kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya