Dua Exco Melaka rebut jawatan Ketua Bahagian Jasin

Dua Exco Melaka rebut jawatan Ketua Bahagian Jasin

MUHAMAD AKMAL Saleh (dari kiri), Hasan Rahman dan Zaidi Attan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Saingan merebut posisi Ketua UMNO Bahagian Jasin dijangka sengit apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan menjadi calon ketiga mengumumkan bertanding jawatan tersebut pada pemilihan parti 18 Mac ini.

Ini menjadikan saingan di bahagian itu paling mencuri perhatian apabila penyandangnya, Datuk Hasan Rahman yang akan mempertahankan jawatan disandang sejak 2018 turut ditentang ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Sudah pasti tumpuan bakal terarah di Jasin menyaksikan dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) menawarkan diri bagi menggantikan Hasan yang juga bekas ADUN Sungai Rambai.

Zaidi selaku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka mengumumkan bertanding selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, malam Selasa lalu.

Beliau turut mengumumkan senarai kumpulannya terdiri daripada Datuk Roslan Ahmad yang akan mempertahankan jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin.

Sebelum ini difahamkan, Roslan yang kalah bertanding di kerusi Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ingin menawarkan diri mencabar Hasan.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka turut mengesahkan menawarkan diri pada hari sama.

Difahamkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin itu membariskan beberapa tokoh bersamanya antaranya Azman Abdullah bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian serta ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar selaku calon Naib Ketua UMNO Bahagian.

Sementara itu, Hasan dijangka mempertaruhkan Pengarah Kewangan UMNO merangkap Akauntan Barisan Nasional (BN), Datuk Shahrul Azuwar Abdul Aziz selaku calon Timbalan Ketua UMNO Bahagian dan ahli perniagaan, Datuk Ahmad Baharuddin sebagai calon Naib Ketua UMNO Bahagian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN