Kerajaan Perpaduan: Kombinasi terbaik selepas merdeka

Kerajaan Perpaduan: Kombinasi terbaik selepas merdeka

AB. RAUF YUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan Perpaduan yang didukung tiga blok utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan kombinasi terbaik selepas negara mencapai kemerdekaan, kata Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Ab. Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, kerjasama dimeterai di peringkat Persekutuan itu dilihat membawa era politik baharu di Malaysia yang mana UMNO telah menghulurkan tangan kepada parti saingannya hampir 20 tahun iaitu PKR, pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, langkah besar tersebut diambil bagi melestarikan kehidupan rakyat dan melupakan segala ketidaksefahaman yang sebelum ini menghantui semua parti, lantas menimbulkan banyak prasangka dalam ideologi politik masing-masing.

“Kerajaan ini satu kombinasi terbaik selepas sejarah merdeka, yang mana selama ini melihat satu sejarah baharu selepas PRU15. Titik pertemuan persamaan ini berlaku apabila UMNO telah memberikan kerjasama kepada sebuah parti yang selama ini menjadi saingan sepanjang tempoh 20 tahun.

“Tetapi dengan gabungan ini dilihat bahawa satu era politik baharu akan bermula di Malaysia bagi melestarikan kehidupan rakyat dan melupakan segala ketidaksefahaman,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, seramai 27 menteri selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Jemaah Menteri dipecahkan kepada enam kumpulan dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia tersebut.

Majlis angkat sumpah dimulakan dengan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, diikuti Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Perladangan dan Komoditi.

Mengulas berkenaan pemilihan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ab. Rauf berkata, pihaknya menyokong penuh pelantikan Presiden UMNO itu ke jawatan berkenaan kerana ia menzahirkan satu permulaan kepada parti, berada semula di persada pentadbiran kerajaan.

“Badan Perhubungan UMNO Melaka mengalu-alukan pelantikan Presiden sebagai Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Perdana Menteri pada 2016. Semoga dengan titik pertemuan ini akan melakarkan satu era politik baharu,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.