Tawaran baharu BN, anak M40 terima komputer riba percuma - Utusan Malaysia

Tawaran baharu BN, anak M40 terima komputer riba percuma

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pelajar sekolah yang terdiri daripada keluarga M40 tidak akan tercicir menerima komputer riba percuma, sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia adalah tawaran baharu yang akan dimasukkan dalam manifesto Perancangan Awal dan Usaha BN (PADU) dilancarkan pada 7 November lalu.

Menurutnya, ini kerana dalam manifesto dilancarkan tempoh hari tidak menyenaraikan anak keluarga M40 sebagai penerima komputer riba yang akan diberikan secara percuma.

“Atas persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah berjumpa dengan saya pagi tadi, beliau pada dasarnya sudah bersetuju untuk pembahagian komputer riba ini kepada anak-anak daripada keluarga M40 di seluruh negara.

“Manakala untuk anak-anak muda lepasan sekolah yang berhajat untuk menyambung pelajaran, apatah lagi yang bekerja dalam sektor penghantar makanan dan sebagainya, satu skim khas akan diberikan dan dilaksanakan kerajaan sebagai keprihatinan terhadap golongan ini.

“Tambahan untuk anak-anak muda lagi, latihan kemahiran akan diberikan kepada mereka yang gagal memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan tentunya peluang pekerjaan akan diberikan kepada mereka seluas-luasnya,” katanya semasa berucap merasmikan BN Comm Parlimen Tangga Batu dan pelancaran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Terendak, Sungai Udang di sini, semalam.

Tambah Ahmad Zahid, kerajaan juga akan menambah keluasan liputan komunikasi 5G untuk generasi muda di seluruh negara terutama di sekolah-sekolah dalam tempoh hanya 18 bulan.

“Manifesto yang ditawarkan kali ini turut menumpukan kepada pembangunan anak muda di negara ini bagi memastikan kemahiran, keusahawanan dan perindustrian dapat memberi manfaat kepada golongan itu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya