KEPALA BATAS: Keputusan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) antara lain kerana ingin melihat parti itu menjadi lebih kuat pada masa hadapan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pada masa sama, Presiden UMNO itu juga mahu sebuah kerajaan yang lebih stabil dibentuk sekiranya Ismail Sabri kekal menerajui kerajaan selepas PRU15.
Justeru, beliau yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Kepala Batas berterima kasih kepada Ahmad Zahid kerana tetap dengan pendiriannya mengekalkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri jika BN menang pada PRU15.
“Kita mahu melihat sebuah kerajaan yang stabil serta negara yang lebih makmur datang daripada kepimpinan beliau (Ismail Sabri).
“Dalam hal ini, agenda yang sama juga iaitu Demi Kepala Batas dan demi menyumbang kepada kekuatan terbinanya sebuah kerajaan yang lebih stabil saya bawa di Kepala Batas ini,” katanya.
Reezal Merican ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera BN Kepala Batas & Aku Janji ‘Demi Kepala Batas’ di Wisma UMNO Kepala Batas di sini, hari ini yang dihadiri kira-kira 3,000 penyokong BN.
Dalam pada itu, beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen itu memberitahu, jentera BN Kepala Batas kini berada dalam ‘mood’ tinggi dengan kehadiran luar biasa rakyat pada setiap program yang dianjurkan bermula selepas pembubaran Parlimen.
Bagaimanapun katanya, angka kehadiran itu tidak boleh dijadikan indikator untuk mengukur sokongan rakyat terhadap parti semata-mata.
Apa yang penting katanya, jentera BN itu memahami mengapa perlu ‘turun padang’ iaitu Demi Kepala Batas kerana ketika ini beliau bukan lagi seorang menteri atau wakil rakyat kepada mereka.
“Jadi, kalau bercakap, saya kena bercakap benda yang benar, benda yang boleh diyakini oleh rakyat, yang boleh dibawa ke anak cucu, sahabat taulan dan saudara-mara mereka secara keseluruhannya kerana di Kepala Batas ini kita ada hubungan kekeluargaan yang kuat,” jelasnya. – UTUSAN