Isu penutupan sembilan PDM di Jasin selesai - Utusan Malaysia

Isu penutupan sembilan PDM di Jasin selesai

PARIT Perawas, Sebatu, Tehel dan Kesang adalah antara sembilan PDM yang ditutup bermula Isnin lalu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Isu penutupan sembilan pusat daerah mengundi (PDM) di Parlimen Jasin sejak minggu lalu berjaya diselesaikan dan sudah dibuka semula bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman berkata, Parit Perawas, Sebatu, Tehel dan Kesang adalah antara sembilan PDM yang ditutup bermula Isnin lalu.

HASAN RAHMAN

Menurutnya, penutupan PDM berlaku apabila nama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Roslan Ahmad diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Barisan Nasional (BN) bertanding di kerusi berkenaan.

“Memang benar ada sembilan PDM dan beberapa bilik gerakan ditutup selama tiga hari sejak Isnin lalu. Namun semua masalah ini telah berjaya diselesaikan dengan cara baik dan akhirnya sembilan daripada 38 PDM di Jasin telah dibuka semula serta beroperasi seperti biasa.

“Alhamdulillah segalanya sudah selesai dan jentera sudah digerakkan semula untuk memastikan calon BN menang dan mengekalkan Parlimen Jasin daripada jatuh ke pihak pembangkang,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Bemban di sini semalam.

Mengulas lanjut, Hasan berkata, beliau telah memantau kesemua PDM terlibat dan mendapati semua petugas sudah kembali bertugas seperti biasa.

Justeru, katanya, tiada lagi isu berbangkit selepas ini dan tumpuan jentera parti ke arah memastikan seluruh pengundi dapat memberi mandat kepada BN untuk mengekalkan kerusi tradisi itu.

“Saya yakin rakyat di Jasin akan terus menyokong BN kerana parti sudah terbukti sepanjang tempoh 60 tahun memerintah dengan membawa banyak pembangunan untuk kesejahteraan rakyat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya