Harap PM tak tunduk desakan bubar Parlimen masa terdekat

Bersatu Johor harap PM rasional, tak tunduk desakan bubar Parlimen dalam masa terdekat

Sahruddin Jamal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pembubaran Parlimen tidak seharusnya dilakukan dalam masa terdekat hanya kerana keputusan, desakan, arahan atau isyarat daripada UMNO yang berada dalam kerajaan pada masa ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewajarnya rasional dalam pembubaran Parlimen serta Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selain tidak membuat sebarang keputusan kerana ditekan atau dipengaruhi partinya.

Justeru, Bersatu Johor menyarankan supaya kerajaan terus bersiap siaga bagi menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi terutama memastikan keselamatan rakyat berbanding mahu mengadakan PRU15.

“Pembubaran Parlimen bagi memberi laluan PRU15 diadakan bukanlah keputusan yang tepat dan keutamaan yang sesuai pada ketika ini.  Bersatu Johor juga ingin mengingatkan bahawa Kabinet pentadbiran Perdana Menteri, bukanlah dikuasai UMNO secara total. 

“Sekiranya PRU15 berlaku juga dalam masa terdekat, ia jelas menunjukkan Perdana Menteri gagal meletakkan keutamaan terhadap kemaslahatan rakyat, sebaliknya menuruti kehendak partinya, sekali gus membuktikan aspirasi Keluarga Malaysia sekadar retorik semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat ketetapan supaya PRU15 diadakan pada tahun ini.UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×