PONTIAN: UMNO bersedia menguji sejauh mana kekuatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, sebagai negeri yang penting, tentu ramai yang berminat kerana keputusan pilihan raya umum akan menggambarkan senario politik di negara ini.
Beliau mengalu-alukan kehadiran para pemimpin untuk datang ke Johor bagi mengukur sejauh mana pengaruh mereka termasuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Bukan sahaja Rafizi, malah mana-mana pemimpin pembangkang yang ingin menguji kekuatan mereka, kami sedia menyambutnya dan tidak gentar dengan kehadiran mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan bola keranjang merebut
Piala Dato’ Ir. Hasni di Sekolah Jenis Kebangsaa Cina (SJKC) Tah Tong, di sini, malam tadi.
Akhbar baru-baru ini melaporkan ,Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melantik Mohd. Rafizi sebagai Pengerusi MPN bagi Wilayah Persekutuan dan Johor.
Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, Mohd. Rafizi juga boleh bertanding di mana-mana kerusi Parlimen di Johor.
“Tentunya ada tujuan dan matlamat mengapa PKR Pusat meletakkan Rafizi sebagai Pengerusi MPN Johor, mungkin juga beliau akan bertanding di mana-mana kerusi Parlimen kelak,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor menjangkakan ADUN Perling, Liew Chin Tong turut bertanding di kerusi Parlimen pada PRU15 bagi menguji pengaruhnya.
Malah, katanya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru-baru ini menarik balik hasrat untuk bersara dijangka mempertahan kerusi Parlimen Pagoh.
“Ini menunjukkan minat mereka (pemimpin pembangkang) sentiasa berada pada tahap yang tinggi bagi menawan negeri Johor setelah gagal melakukannya pada PRN Johor pada Mac lalu,” jelasnya. – UTUSAN










