Terima orang muda atau UMNO ‘mati’ pada PRU16 -

Terima orang muda atau UMNO ‘mati’ pada PRU16

Masa depan UMNO dikatakan gelap jika BN-PH kalah dalam PRN kali ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti politik terbesar Melayu, UMNO dikhuatiri lumpuh dan ‘mati’ dalam tempoh 10 tahun akan datang sekiranya parti itu tidak mengambil pendekatan berani dan melakukan pembaharuan dalam waktu terdekat.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, perkara itu akan menjadi realiti khususnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kelak sekiranya UMNO masih dibuai dengan pemikiran lama.

“UMNO akan ‘mati’ dalam hati orang muda atau pengundi muda dalam tempoh 10 tahun lagi jika UMNO tak berani berubah. Mungkin ramai terkejut dengan kenyataan ini, tapi itulah realiti nasib UMNO pada PRU16 nanti jika parti ini masih dibuai dengan cara pemikiran lama. Hakikatnya dunia dan landskap politik sudah banyak berubah.

“Pengundi muda bakal mendominasi cita rasa dan pilihan selepas PRU15 dan bermula PRU16 pula, pengundi matang UMNO hanya tinggal berapa kerat sahaja lagi. Oleh itu, UMNO kena lakukan perubahan dari sekarang, buat peremajaan bermula dari PRU15 ini. Masih belum terlambat untuk perubahan dilakukan jika kita bertindak segera.

“Tambahan pula, pada PRU15 nanti, dijangka lebih empat juta pengundi berusia 18 tahun sudah didaftarkan secara automatik. Mereka ini bakal menjadi suara baharu dan dominan pada PRU-PRU akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Nur Jazlan yang juga bekas Ahli Parlimen Pulai turut memberitahu, UMNO perlu melakukan perubahan drastik terhadap pemikiran, pendekatan, kepemimpinan dan calon-calon dalam PRU15 nanti sekiranya mahu memenangi hati para pengundi muda dan baharu ini.

“Adakah kita hanya nak lihat parti-parti lain seperti DAP, PKR dan MUDA mempengaruhi golongan muda ini, tanpa UMNO sendiri tak melakukan usaha ke arah itu. UMNO tak boleh lagi terlalu bergantung harap kepada pengundi-pengundi matang sedia ada saja sedangkan peluang untuk meraih sokongan pengundi 18 terbuka luas.

“Saya menyokong penuh kenyataan Presiden UMNO pada Konvensyen BN Selangor bulan lalu yang meminta kepemimpinan BN negeri memberi peluang kepada muka baharu dan golongan profesional sebagai calon dalam usaha merampas kembali Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).

“Menurut Presiden, golongan ‘warlord’ BN sebagai orang politik perlu berjiwa besar menerima kelompok profesional dan orang muda sebagai calon-calon PRU15 nanti. Saranan Presiden UMNO itu sebenarnya bukan untuk BN Selangor sahaja tapi juga untuk semua BN negeri lain.

“Kalau pandangan Presiden UMNO itu boleh diterima dengan hati terbuka atas semangat mengutamakan perjuangan parti, saya percaya masa depan UMNO dan BN bertambah cemerlang pada masa akan datang,” ujarnya.

Tambahnya, pengundi muda hari ini tidak hairan dengan cara politik lama dan penuh dengan retorik perjuangan demi bangsa dan agama, sebaliknya mereka tertarik kepada politik ‘movement based’ yang bermula dalam skala kecil tapi menarik cita rasa, sama ada bertentangan dengan budaya atau undang-undang sudah jadi amalan biasa sekarang ini. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya