SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) yang menguasai Selangor sejak 2008 tidak gentar dengan kemunculan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mewakili Barisan Nasional (BN) di negeri ini.
Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, BN bebas untuk mencalonkan sesiapa sahaja pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun gabungan PH tidak gentar kerana yakin mereka akan kekal di Selangor.
“Bagi saya (pencalonan Tengku Zafrul) bukan isu besar, BN boleh letakkan sesiapapun menteri mana yang dikehendaki di Selangor, tetapi rakyat sudah tahu, dengan isu yang sekarang ini isu besar UMNO BN dan rakyat sudah tahu siapa yang patut dipilih.
“Saya minta UMNO selesaikan urusan antara Muafakat Nasional (MN), Perikatan Nasional (PN) atau BN. Apakah kerjasama mereka akan bersama dengan Pas di Selangor atau solo? Saya cabar BN Selangor keluarkan kenyataan itu. Nyatakan pendirian dengan siapa yang mereka harus bekerjasama pada PRU nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu turut menegaskan isu stadium dan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap PKR atau PH di Selangor.
“Sebab itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, saya bangkit dan tanya kepada Menteri Besar. Apakah ada unsur politik yang memainkan isu stadium, sebagai contoh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Datuk Salamon Selamat, kita tahu beliau bekas ADUN Batu Tiga daripada UMNO.
“Mereka yang terlibat (membantah) ini kebanyakannya daripada UMNO, kenapa orang UMNO kuat membantah sedangkan orang luar tidak sekuat bantah begitu. Kerajaan negeri tidak mengeluarkan belanja pun, sebaliknya melantik satu syarikat berdasarkan keupayaan kepada syarikat terbesar itu, yang mengendalikan semuanya,” jelasnya.- UTUSAN










