LARUT: UMNO Bahagian Larut akan menerima siapa sahaja calon parti yang diputuskan untuk bertanding kerusi Parlimen dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, kerusi itu ialah Parlimen Larut dan DUN Selama, Kubu Gajah dan Batu Kurau.
“Seluruh jentera UMNO Bahagian Larut bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi PRU15.
“Kami menyusun strategi dari pelbagai sudut termasuk mendekati pengundi baharu yang kebanyakannya pengundi umur 18 tahun, jumlah mereka lebih kurang seramai 5,000 orang di sini,” katanya kepada pemberita pada Program Santai Lubuk Silah Anak Kurau di sini hari ini.
Menurutnya, mereka sedia berdepan sesiapa sahaja pada PRU15 dan akan menggerakkan kerja secara ‘all out’ bagi memastikan kemenangan milik UMNO..
Ditanya sama ada beliau akan bertanding pada PRU15, Muhammad Amin berkata, perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti dan UMNO ada senarai nama calon yang akan bertanding di Parlimen dan DUN.
Sementara itu, Pengerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sempeneh, Muhammad Nor Mat Daud berkata, sesiapa pun yang diputuskan oleh parti untuk bertanding sebagai calon parti itu sama ada DUN dan Parlimen Larut, mereka menerimanya.
Datuk Seri Hamzah Zainudin menang Parlimen Larut pada PRU14 atas tiket Barisan Nasional (BN), namun, kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pada PRU14, Pas menang DUN Selama dan Kubu Gajah menerusi calonnya, Akmal Kamaruddin dan Khalil Yahya manakala Muhammad Amin menang DUN Batu Kurau. –UTUSAN ONLINE