PONTIAN: UMNO sedia melakukan sedikit pindaan sebagai memenuhi permintaan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang meluluskan pindaan perlembagaan parti itu semalam.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pindaan tersebut ialah pemilihan UMNO perlu diadakan tidak lewat dari enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) berlangsung.
Menurutnya, UMNO gembira dengan keputusan yang dibuat oleh RoS sebagai menepati hasrat ahli-ahli di peringkat umbi yang meminta tiada pemilihan parti diadakan sebelum PRU dijalankan.
“UMNO tiada masalah untuk melakukan pindaan tersebut dan akan memperhalusinya ketika mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 4 Ogos ini termasuk membincangkan beberapa perkara penting.
“MKT akan mengesahkan kelulusan yang diterima daripada RoS serta membincangkan beberapa perkara penting berhubung kait dengan perkara tersebut untuk penerimaan semua ahli yang hadir,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Sekolah Menengah Agama (SMA) An-Nur di Benut, dekat sini hari ini.
SMA An-Nur merupakan sekolah terbaik di peringkat kebangsaan peperiksaan STAM dalam kalangan Sekolah Agama Bantuan Kebangsaan (SABK) pada tahun lalu.
Semalam, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian dalam kenyataan memaklumkan RoS meluluskan pindaan perlembagaan UMNO berkuat kuasa pada 29 Julai 2022 dengan sedikit pindaan.
Namun, antara perkara yang dikekalkan ialah pemilihan parti diadakan dalam tempoh tiga tahun sekali, namun MKT UMNO boleh menangguhkan tidak lebih daripada enam bulan setiap kali selepas PRU. –UTUSAN ONLINE