SABTU lalu, Parti Warisan Sabah (Warisan) secara rasmi melancarkan parti tersebut di negeri ini. Perlis adalah negeri terbaharu Warisan bertapak selepas parti itu meluaskan pengaruhnya di Semenanjung.
Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berlangsung penuh meriah dengan penyertaan ramai bekas pemimpin UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Selain itu, Warisan di Perlis juga digerakkan pemimpin pelbagai latar belakang politik dan kaum termasuk bekas-bekas wakil rakyat di negeri ini.
Kemasukan Warisan ke negeri ini sekali gus bakal merancakkan lagi suasana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini dengan penyertaan pelbagai parti politik.
Paling utama, kehadiran Warisan ke negeri ini tidak boleh dipandang ringan oleh pihak lawan memandangkan kebanyakan individu yang menyertai parti itu terdiri daripada pemimpin yang berpengaruh khususnya di kawasan masing-masing.
Bagi sesetengah kawasan khususnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Warisan dilihat mampu memberi cabaran sengit terhadap BN.
Antaranya di DUN Pauh, jika ia mengetengahkan Ketua Warisan Bahagian Arau, Khalid Ahmad iaitu sosok tubuh yang cukup berpengaruh dan disenangi di kawasan berkenaan sebagai calon, tidak mustahil parti itu boleh mencipta kejutan di situ dalam PRU15.
Selain di Arau, parti itu juga dijangka meletakkan calon di sesetengah kawasan di Parlimen dan DUN di Padang Besar dan Kangar sekali gus bakal menyaksikan pertembungan lebih tiga penjuru memandangkan parti itu masih belum menetapkan kerjasama dengan mana-mana parti politik di negeri ini.
Malah, dengan kemasukan parti itu di negeri ini, bakal memberi lebih pilihan kepada rakyat memilih dalam pilihan raya nanti.
Ketika ini, tiga bahagian parti itu telah ditubuhkan di Perlis meliputi kawasan Kangar, Padang Besar dan Arau.
Kata Pengerusi Warisan negeri, Datuk Abd. A’zib Saad, pihaknya tidak mengejar untuk mencari jumlah ahli tetapi fokus kepada kepelbagaian kaum. – UTUSAN










