KUALA SELANGOR: Akar umbi Parti Amanah Negara (Amanah) tetap menamakan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) walaupun Ahli Parlimen Kuala Selangor itu sebelum ini mengumumkan untuk berundur.
Timbalan Ketuanya, Nagmudin Hussain berkata, cadangan nama itu sudah diputuskan seluruh ahli jawatan kuasa parti kawasan berkenaan baru-baru ini bagi memastikan Dzulkefly terus mempertahankan kerusi berkenaan sekiranya memenangi pilihan raya akan datang.
“Kita tidak meletakkan nama lain selain beliau dan berharap pucuk pimpinan Amanah turut mempertimbangkannya.
“Ia bagi memastikan kerusi Parlimen Kuala Selangor dapat dipertahankan dan Dzulkefly terus memberi khidmat bakti kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Assam Jawa di sini, petang semalam.
Terdahulu, puluhan individu mewakili 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) turut menyatakan sokongan sama kepada Dzulkefly.
Pada 23 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan Pengarah Strategi Amanah itu bersedia memberi laluan kepada calon muka baharu untuk bertanding dalam PRU15.
Dzulkefly memaklumkan dirinya memang berhasrat untuk berundur selepas sudah beberapa penggal menjadi wakil rakyat.
Calon muda disifatkan Dzulkefly perlu diberi peluang dan ruang untuk menjadi pemimpin yang disifatkan lebih ‘segar’.
Jelas Nagmudin, tiada istilah parti itu ketandusan pemimpin muda untuk diketengahkan dan kepimpinan bekas Menteri Kesihatan berkenaan masih diperlukan untuk bersaing dengan parti lawan.
“Pada PRU15, kita masih memerlukan khidmat Dzulkefly kerana beliau masih bertenaga, sihat dan cerdas untuk terus berkhidmat.Selain itu, beliau menguasai disiplin ilmu seperti agama, politik, ekonomi dan kesihatan,” katanya.
Tambah beliau, Dzulkefly turut disenangi dan dihormati kawan dan lawan kerana prinsip beliau yang cintakan perdamaian, ukhuwah serta perpaduan.
Justeru, jika Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU15, beliau dikatakan antara pemimpin penting untuk melakukan reformasi seperti yang dilakukan ketika menjadi menteri kabinet. –UTUSAN ONLINE