KANGAR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) berada dalam momentum terbaik menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika diadakan dalam tempoh terdekat.
Justeru, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, jangan menunggu terlalu lama untuk mengadakan PRU15 kerana dikhuatiri berlaku perkara luar jangka khususnya daripada aspek ekonomi yang mampu memberi imej tidak baik kepada parti.
Katanya, tempoh sebaik-baiknya diadakan pilihan raya tersebut adalah dari Ogos sehingga selewatnya-lewatnya akhir tahun ini.
Ujarnya, barisan kepemimpinan tertinggi parti akan berbincang mengenainya dalam masa terdekat iaitu selepas berakhirnya memorandum persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) yang akan berakhir 31 Julai ini.
“Boleh jadi ‘top 5’ parti akan bincang (tarikh PRU15) dalam masa terdekat. Kita tunggu berakhirnya terlebih dahulu MoU kerajaan pembangkang sehingga 31 Julai ini.
“Kalau boleh, janganlah disambung MoU tersebut supaya kita bebas daripada ikatan sekali gus memudahkan parti memberi pandangan kepada Perdana Menteri yang juga Naib Presiden parti berhubung soal pembubaran parlimen itu.
“UMNO berada dalam momentum terbaik orang masih nak BN lagi, jangan tunggu lama-lama sangat takut berlaku perkara di luar jangkaan dan kawalan kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pertemuan bersama jentera pilihan raya BN negeri Perlis di Dewan Warisan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan PengerusI Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Azlan Man.
Sementara itu, Mohamad berkata, mempertahankan kemenangan di negeri yang UMNO dan BN menang dalam PRU14 lebih mudah daripada menebus kekalahan.
“Jadi, Perlis khususnya mesti mempunyai mentaliti sebegitu iaitu mengekalkan kemenangan. Tapi nak mengekalkan kemenangan itu bukan mudah.
“Mesti selesai dahulu isu-isu atau perkara membantutkan gerak kerja kita. Kita jangan ada sengketa, perbalahan dan bersama-sama buat kerja dengan keutamaan kita untuk menang,” katanya. –UTUSAN ONLINE










