PETALING JAYA: Kerajaan disaran menjadikan tarikh 28 Julai sebagai Hari Anti Lompat Parti yang akan disambut setiap tahun setelah Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Parlimen diluluskan di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Kepong dari DAP, Lim Lip Eng berkata, tarikh tersebut antara lain bagi memperingati kemenangan kerajaan dan pembangkang meluluskan usul tersebut baru-baru ini.
“Ini penting kerana hak rakyat sebagai pengundi kini dihormati dan dijamin, terutama mereka yang membuang undi untuk calon-calon yang mereka percaya dan sokong pada pilihan raya umum lalu.
“Pengundi tidak boleh lagi dikhianati, mandat dan kepercayaan diberikan kepada calon-calon yang menang pilihan raya umum kelak.
“Wakil rakyat yang mengutamakan kuasa dan harta kini boleh ditolak dan wakil rakyat yang benar-benar mengutamakan rakyat serta negara boleh dipilih lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khamis lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi lebih dua pertiga ahli Dewan Rakyat menyaksikan 209 ahli Parlimen bersetuju dan 11 ahli Parlimen tidak hadir.
Kelulusan itu sekali gus meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara luar yang menguatkuasakannya lebih awal kerana tindakan lompat parti telah menjejaskan kuasa kerajaan dan parti-parti politik.
Dilaporkan sekurang-kurangnya 39 ahli Parlimen di negara ini melompat parti dan membawa kepada ketidakstabilan politik menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam satu penggal Parlimen. –UTUSAN ONLINE