Annuar usah melalut, beri jawapan mudah -Nur Jazlan - Utusan Malaysia

Annuar usah melalut, beri jawapan mudah -Nur Jazlan

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa hanya perlu memberikan jawapan mudah iaitu wujud atau tidak perjanjian di antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh  tidak perlu bercakap berjela-jela untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan ahli parti, khususnya di peringkat akar umbi.

Menurutnya, jawapan balas Annuar bukan sahaja melencong daripada persoalan yang dibangkitkan, malah, turut menyalahkan individu lain.

“Bagi saya, Annuar tidak perlu bagi jawapan melalut kepada media. Caranya mudah sahaja, kalau tak nak jawab, cakap saja ‘no comment’. Itu lebih selamat daripada pusing-pusing jawapan sampai tak menjawab soalan.

“Kelmarin, saya baca kenyataan media Tan Sri Annuar Musa yang minta saya tidak payah campur tangan urusan perjanjian Timbalan Perdana Menteri antara Bersatu dan Perdana Menteri. Dia kata, sebagai pemimpin bawahan, saya tidak layak untuk ambil tahu urusan besar seperti itu. 

“Dia cakap apabila saya mempersoalkan kewujudan perjanjian politik itu, saya hanya menyebabkan keadaan parti menjadi kelam kabut. Puncanya saya minta Annuar sahkan ada ke perjanjian itu kerana nama beliau dipetik sendiri oleh orang daripada parti Bunga (Bersatu),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sebagai Ketua UMNO Bahagian, beliau dan ahli akar umbi parti ingin tahu sama ada betul atau tidak wujudnya perjanjian itu atau sekadar dakwaan ahli Bersatu serta tidak perlu menyalahkan pihak lain.

“Saya pula disalahkannya. Surat perjanjian politik itu sudah viral, siap ada tandatangan dia kat surat itu. Kalau benda tak betul silalah nafikan dan jangan jadi munafik untuk elak mengatakan kebenaran.

“Annuar tuduh saya bercakap kalahkan Presiden UMNO. Saya tanya soalan ‘simple’ dan saya percaya semua ahli UMNO nak tahu daripada mulut Annuar sendiri. Dia pun kadangkala bercakap macam lebih besar daripada Presiden UMNO, pangkat dia macam dialah Mursyidul Am UMNO.

“Masa dia bercakap banyak dan melampaui batas parti dan Presiden UMNO, tak ada pula saya cop dia sebagai Presiden UMNO pun,” ujarnya.

Justeru, dakwaan beliau bahawa UMNO sudah tiada dalam hati Annuar adalah benar kerana pemimpin itu sudah semakin cenderung dengan Bersatu.

“Mungkin tidak salah kalau saya cakap sebelum ini, ‘Annuar sudah mati dalam UMNO’, sebab dia dah mati rasa cinta kepada UMNO dan sudah sayang kepada Bersatu,” katanya yang juga bekas Ahli Parlimen Pulai. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya