PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan cadangan Mesyuarat Tertinggi (MT) parti itu berhubung keperluan mewujudkan Lembaga Unggas dalam mengatasi kenaikan harga barangan bekalan ayam.
Ia susulan Calon Timbalan Presiden PKR, Mohd. Rafizi Mohd. Ramli menyifatkan syor yang diputuskan parti itu dalam membantu rakyat sebagai satu cadangan jenaka.
Ahmad Zahid berkata, UMNO sentiasa konsisten terutama sekali dalam isu berkaitan sekuriti makanan berbanding Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah sebelum ini.
Katanya, ini kerana pelbagai formula dan segala macam kaedah yang kononya untuk mengurus kewangan negara dengan lebih baik ditawarkan, tetapi, semua itu hanya tinggal janji semata-mata.
“Mohd. Rafizi memperlekehkan cadangan UMNO untuk menubuhkan Lembaga Unggas Kebangsaan bagi menangani kos sara hidup dan masalah sekuriti makanan negara.
“Beliau katakan cadangan tersebut akan membazir wang rakyat dan menambah lagi karenah birokrasi. Tetapi, beliau sendiri pula mencadangkan untuk mewujudkan satu badan bebas untuk menguruskan risiko gangguan bekalan makanan. Tidakkah itu akan menambah lagi birokrasi dan sedikit sebanyak menggunakan wang rakyat?.
“Ini bukan kali pertama Mohd. Rafizi memberikan cadangan atau kritikan yang self contradictory. Kita semua masih ingat siapa Mohd. Rafizi dan bermacam dakyah penipuan yang ditaburkan kepada rakyat Malaysia sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lagi melalui kempen “Bina Semula Negara” beliau,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, rakyat ketika ini memerlukan solusi kepada permasalahan mereka dan tidak kisah tentang formula terutama sekali formula daripada Mohd. Rafizi bersama PH sendiri tumbang selepas 22 bulan.
“Seperti yang saya cadangkan sebelum ini, perlu ada koordinasi rentas kementerian melalui pengaktifan semula Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan melaksanakan pakej-pakej bantuan yang bersasar berteraskan data terkini kepada golongan memerlukan.
“Saya berpendapat, melalui platform Majlis Tindakan tersebut, pelbagai cadangan dan pandangan, terutama sekali daripada pakar (bukan pakar formula seperti Rafizi Ramli) dan pemain industri bagi memastikan setiap keputusan kerajaan, sama ada berkenaan harga makanan, harga utiliti dan lain-lain haruslah bertujuan untuk sentiasa mengawal dan merendahkan kos sara hidup rakyat.
“Termasuklah juga cadangan penubuhan Lembaga Unggas Kebangsaan yang perlu diteliti NACCOL untuk memastikan harga ayam sentiasa di tahap yang munasabah,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE