PARIT: UMNO Bahagian Parit tetap bersama Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi walaupun terdapat gesaan untuk Presiden UMNO itu melepaskan jawatan.
Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria berkata, sebagai sebuah organisasi, semua pimpinan dan ahli bahagian itu masih menghormati dan setia dengan parti.
Menurutnya, walaupun berlaku masalah dalaman sebelum ini, sejarah membuktikan UMNO adalah sebuah organisasi yang lebih matang dan kukuh serta mampu menyelesaikan permasalahan berkenaan.
“Itu biasa, dalam mana-mana parti pun mesti ada sedikit sebanyak pelakunya, cuma, UMNO ini lebih matang, lebih dewasa dan kita juga rasional dalam pelbagai perkara, kita boleh menilai dan rakyat juga boleh menilai.
“Pada saya, kita tak ada masalah organisasi dan perjuangan tetap perjuangan. Masalah apa yang boleh kita selesaikan, kita selesaikan dan sekarang tumpuan adalah kepada pilihan raya umum (PRU),” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sijil Perhebat dan Program Reskilling Upskilling Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Dewan Dato’ Maharajalela Institusi Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar di sini hari ini.
Ditanya sama ada UMNO Parit akan melaporkan tindakan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mengkritik Ahmad Zahid kepada Lembaga Disiplin parti, Mohd. Nizar berkata, tiada perancangan setakat ini untuk bertindak sedemikian.
“Setakat ini, tidak ada perancangan itu sebab kita kena lihat beberapa perkara-perkara tertentu yang bersifat ekstrem dan sebagainya.
“Mungkin di peringkat Lembaga Disiplin yang punya hak dan tanggungjawab. Setakat ini, UMNO Bahagian Parit tidak ada cadangan tersebut,” katanya.
Mohd. Nizar berkata, isu parti yang diwujudkan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu hanya sementara dan akan reda selepas wujud isu yang lain.
Katanya, rakyat boleh menilai apa yang berlaku dan isu itu akan reda.
“Dalam hidup pun isu dan masalah tetap ada, malah, atas nama parti, ia akan mematangkan. Kesetiaan sebagai ahli parti itu tidak boleh dinafikan kerana itulah prinsip perjuangan,” katanya.
Sebelum ini, Tajuddin digugurkan daripada MKT UMNO kerana sering mengkritik parti.
Tajuddin dalam sidang akhbar kemudiannya mendedahkan beberapa perkara dalaman UMNO termasuk ada pergerakan menjatuhkan Ahmad Zahid dan mendakwa dirinya merupakan saksi hidup berkenaan Akuan Bersumpah (SD) yang ditandatangani beberapa Ahli Parlimen bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. – UTUSAN ONLINE